Penerbit USM Rangkul Anugerah Mapim 2012 Dua Tahun Berturut-Turut

AnugerahMAPIM2012

PUTRAJAYA, 30 April 2013 – Dua orang staf Universiti Sains Malaysia merangkul anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang telah diadakan di Hotel Marriott, Putrajaya.

Rosziana Radli menerima anugerah bagi Kategori Editor Naskhah Terbaik (Hadiah Penghargaan) bagi bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial dua tahun berturut-turut serta membawa pulang hadiah wang tunai dan juga plak MAPIM.

“Saya hanya menjalankan tugas yang telah diamanahkan dan telah memperuntukkan selama lebih dua bulan untuk menyiapkan naskhah yang bertajuk ‘Arhitecture and Heritage Buildings in George Town Penang”, ujar Rosziana yang juga merupakan Alumni USM yang memegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perumahan, Bangunan dan Perancangan.

Sementara itu, Ilsup Ahn, pengarang Jurnal Kemanusiaan: The Asian Journal of Humanities Vol. 19. 1 telah memenangi Kategori Makalah Jurnal Terbaik bagi bidang Kemanusiaan dan Sains Sosial.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Datuk Ab. Rahim Md. Noor, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

“Kita tidak seharusnya tergugat dengan teknologi-teknologi terkini dalam bidang penerbitan seperti e-book. Malah kita seharusnya lebih berusaha untuk menghasilkan penerbitan-penerbitan ilmiah yang lebih berkualiti dan bermanfaat,” kata beliau.

Dalam majlis yang sama, Y. Bhg. Dato’ Asma Ismail, mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM dan sekarang Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diberikan Anugerah Sanjungan MAPIM selain enam anugerah lain dipertandingkan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Profesor Dr. Morshidi Sirat, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi merangkap Pengerusi Lembaga MAPIM, Profesor Muhammad Jantan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM dan juga Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd. Saleh Jaafar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Putra Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Anugerah MAPIM 2012. – Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Hits: 969

PAUTAN LAIN
- USM
- MAPIM
- KPM
- PNM