Dr. Nik Haslinda, Dr. Ng Eng Poh Cemerlang Di Anugerah Akademik Negara

AnugerahAkademikNegara

PUTRAJAYA, 21 Ogos, Dua ahli akademik muda Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nik Haslinda Nik Hussain dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dan Dr. Ng Eng Poh dari Pusat Pengajian Sains Kimia mengharumkan nama USM dengan mencapai pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Akademik Negara 2011-2012 yang berlangsung di Hotel Marriot di sini malam tadi.

Anugerah-anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin.

Dr. Nik Haslinda menerima Anugerah Penerbitan Buku untuk Anugerah Akademik Negara 2011 hasil penulisan dari penyelidikan beliau, Pentadbiran Kolonial dan Isu Pemilikan Tanah Di Kelantan 1881 – 1941 yang sebelum ini telah memenangi Anugerah MAPIM 2011 bagi kategori Buku Terbaik Kemanusiaan dan Sains Sosial yang turut tersenarai di perpustakaan luar negara termasuk British Library.

Berkelulusan Sarjana Muda Sastera dari Universitas Udayana Bali, Indonesia;  Ijazah Sarjana Sosioekonomi (Pembangunan Tanah) dari USM dan Doktor Falsafah dari Universiti Malaya memulakan kerjayanya di USM sebagai pensyarah pada tahun 2006 dengan tumpuan kepada Sosio Ekonomi Malaysia dan Asia Tenggara terutamanya tanah dan pertanian.

Dr. Ng Eng Poh pula menerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains) untuk Anugerah Akademik Negara 2012 hasil penyelidikannya tentang mikroskopik hablur zeolite dan penggunaanya dalam pemangkinan, penulenan dan kajian toksikologi bio-sel yang bertajuk “Capturing Ultrasmall EMT Zeolite from Tenplate-Free Systems” yang diterbitkan dalam Journal Science.

Beliau telah menghasilkan penerbitan dalam 22 jurnal yang kebanyakannya berimpak tinggi dengan impak faktor melebihi 3.0 dengan pembentangan kertas kerja di dalam 19 persidangan kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau adalah ahli Persatuan Zeolit Antarabangsa dan pelbagai pertubuhan lain dan pernah menerima penganugerahan “Leading Scientist of the World” oleh International Biographical Centre Cambridge England pada tahun 2012.

Dr. Ng Eng Poh memperolehi ijazah dalam bidang kimia industri dan Sarjana dalam bidang kimia dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kimia Bahan dari Universiti Mullhouse Perancis pada tahun 2009 sebelum berkhidmat di USM.

Anugerah Akademik Negara 2011 menobatkan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar dari Universiti Malaya sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara manakala Anugerah Akademik Negara 2012 pula menobatkan Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Abdul Karim dari Universiti Malaya dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latif Ibrahim dari Universiti Industri Selangor sebagai Tokoh Akademik Negara 2012.

  • Hits: 1295

PAUTAN LAIN
- USM
- MAPIM
- KPM
- PNM