Empat Jurnal Terbitan Penerbit USM Tersenarai Dalam Emerging Sources Citation Index, ESCI Thomson Reuters

Thomson Rueters

PULAU PINANG, 28 September 2015 – Empat jurnal terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia ( Penerbit USM) telah disenaraikan dalam pangkalan data baharu Thomson Reuters iaitu Web of Science (WoS) – Emerging Sources Citation Index (ESCI).

“Keempat-empat jurnal tersebut ialah International Journal of Asia Pacific Studies (IJAPS), Malaysian Journal of Medical Sciences (MJMS), Asian Academy of Management Journal (AAMJ) dan Asian Academy of Management Journal of Accounting and Finance (AAMJAF),” kata Pengarah Penerbit USM, Akhiar Salleh.

Akhiar turut mengucapkan tahniah kepada semua Ketua Sidang Pengarang jurnal terlibat iaitu Profesor Dr. Ooi Keat Gin – IJAPS, Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin Abdullah – MJMS, Profesor Madya Dr. Zamri Ahmad – AAMJ, dan Profesor Datin Dr Ruhani Ali – AAMJAF, serta Ahli Sidang Pengarang jurnal yang berkenaan di samping pasukan kerja Bahagian Jurnal yang diketuai oleh Fazlina Mohamed Rouse.

Baru-baru ini, tiga penerbitan jurnal USM terpilih sebagai penerima Skim Galakan Penerbitan (CREAM) Kementerian Pendidikan Tinggi – satu pengiktirafan yang diberikan kepada jurnal tempatan hasil aktiviti penyelidikan yang telah memperlihatkan prestasi tinggi dalam pangkalan data antarabangsa WoS dan SCOPUS.

Daripada tiga jurnal terbitan USM tersebut, sebuah jurnal diindeks dalam kategori WoS dalam bidang Sains, Teknologi dan Perubatan iaitu Bulletin of The Malaysian Mathematical Sciences Society manakala dua lagi International Journal of Asia-Pacific Studies dan Kajian Malaysia (Journal of Malaysian Studies) yang diterbitkan oleh Penerbit USM di bawah kategori SCOPUS dalam bidang Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Program pemberian taraf CREAM kepada jurnal tempatan ini bertujuan untuk memastikan jurnal yang sudah diindeks kekal berada di dalam pangkalan data pengindeksan antarabangsa demi meningkatkan impak sitasinya.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Hits: 1062

PAUTAN LAIN
- USM
- MAPIM
- KPM
- PNM