Bengkel Penulisan Buku Penyelidikan dan Monograf di Pusat Pengajian Sains Perubatan

USM Kubang Kerian, 11 Februari 2020 – Kalendar aktiviti Bahagian Perolehan, Penerbit USM bagi bulan Februari diteruskan dengan Bengkel Penulisan Buku Penyelidikan dan Monograf yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Sains Perubatan.

Bertempat di Bilik Persidangan Utama, bengkel ini mendapat sambutan menggalakkan dengan dihadiri lebih 40 pensyarah dan pelajar pascasiswazah pusat pengajian berkenaan. Bengkel sehari ini diterajui Puan Nik Nurolaini Nik Mohd Isa, Ketua Bahagian Perolehan dan Cik Noor Sheela Suratman, Pegawai Penerbitan Kanan.

Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada pengarang mahupun bakal pengarang tentang proses penerbitan, pembinaan judul, tanggungjawab pengarang dan editor buku serta format penulisan monograf dan buku ilmiah. Pada akhir bengkel, peserta turut membentangkan draf manuskrip dan berkongsi pandangan untuk menambah baik manuskrip sedia ada.

Bengkel ini dilihat mencapai objektifnya apabila rata-rata pensyarah di pusat pengajian berkenaan menunjukkan minat untuk mula menulis mahupun menyerahkan karya mereka kepada Penerbit USM untuk diterbitkan. Hal ini selari dengan hasrat Penerbit USM agar ilmu yang dikongsikan semasa bengkel ini menjadi pencetus semangat, khususnya kepada pensyarah-pensyarah baharu untuk lebih giat menulis.

Aktiviti sebegini dilihat mampu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak, baik kepada pensyarah mahupun Penerbit USM sendiri. Malah, Penerbit USM tidak pernah jemu memberi galakan dan sentiasa bersedia membimbing pensyarah untuk membukukan karya hebat mereka, dalam usaha menyebarluaskan ilmu kepada khalayak pembaca.

Bengkel PPSP Feb2020

  • Hits: 994

PAUTAN LAIN
- USM
- MAPIM
- KPM
- PNM