ULASAN BUKU PEMBEDAHAN ROBOTIK MASA HADAPAN

robotik

Buku Pembedahan Robotik Masa Hadapan ini dihasilkan oleh dua orang pakar bedah dan dua orang doktor perubatan yang mempunyai minat yang tinggi dalam bidang robotik. Dalam kesibukan merawat pesakit, keempat-empat doktor ini berkongsi minat yang sama dalam bidang penulisan dan akhirnya terhasillah buku yang menarik ini untuk pembacaan orang ramai.

Menurut kajian, kesedaran atau pendedahan masyarakat terhadap pembedahan robotik di Malaysia masih lagi pada peringkat sederhana. Maka, masih ramai pesakit dan sebahagian besar masyarakat yang tidak menyedari kewujudan teknik ini di hospital-hospital terpilih di Malaysia. Selain itu, ramai juga yang ragu-ragu dengan keselamatan teknik ini, ditambah lagi dengan ketiadaan insurans yang menampung kos pembedahan robotik di Malaysia setakat ini.

Buku ini dibahagikan kepada tujuh bab yang membawa pembaca menerokai dimensi baharu dunia pembedahan terutama sekali bagi mereka yang tidak biasa dengan istilah ‘pembedahan robotik’. Penulis bukan sahaja memperkenalkan pembedahan robotik, bahkan mereka turut menepis mitos dan menjelaskan salah faham yang sering kali menghantui dan menghalang pesakit daripada mempertimbangkan pembedahan robotik.

Yang lebih menarik lagi, pembaca disajikan dengan pengalaman penulis semasa menimba ilmu pengetahuan dalam bidang pembedahan robotik di luar negara dan tokoh-tokoh yang pernah terlibat dengan pembedahan robotik. Penulis juga berkongsi gambar-gambar sebenar yang berkaitan dengan pembedahan robotik agar pembaca mendapat gambaran yang sangat jelas tentang rupa robot yang digunakan dan proses yang berlaku ketika pembedahan. Dengan cara ini, pembaca akan lebih yakin dengan tahap keselamatan teknik ini dan sedar akan kelebihan pembedahan robotik terutamanya bagi pesakit yang menghidap penyakit yang kompleks.

Secara keseluruhannya, buku Pembedahan Robotik Masa Hadapan ini merupakan buku pertama di Malaysia setakat ini yang berjaya mendedahkan pembedahan robotik secara khusus. Penggunaan bahasa yang mudah menjadikannya sesuai untuk bacaan umum dan bahan rujukan oleh para pelajar khususnya pelajar kejuruteraan robotik sebagai pencetus idea untuk mencipta robot tempatan bagi mengurangkan kos perbelanjaan dan penyelenggaraan yang tinggi ketika ini. Siapa tahu, penggunaan robot di hospital negara kita mungkin akan jadi senario biasa dalam pembedahan akan datang.

Oleh:Yusmahariz Ashraf Yusmaherizam