ULASAN BUKU GAMIFIKASI DALAM MATEMATIK: PANDUAN UNTUK GURU
Ulasan Buku Gamifikasi Dalam Matematik: Panduan Untuk Guru
Oleh: Yusmahariz Ashraf Bin Yusmaherizam
Buku yang bertajuk Gamifikasi Dalam Matematik: Panduan Untuk Guru ini merupakan hasil nukilan dua orang pensyarah di Pusat Pengajian Sains Matematik, Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu Dr. Ahmad Lutfi Amri Ramli dan Dr. Yazariah Mohd Yatim. Walaupun sibuk mendidik, mereka turut bergiat aktif melaksanakan kem matematik di sekolah-sekolah yang terpilih serta terlibat dalam pembangunan kaedah pembelajaran terutamanya pada peringkat universiti.
Matematik merupakan salah satu mata pelajaran yang paling mencabar untuk diajar di sekolah. Subjek matematik kebiasaannya tidak melibatkan elemen mekanik permainan atau seni yang mampu menarik perhatian pelajar serta diajar secara sehala di dalam kelas. Pembelajaran secara sehala menimbulkan kebosanan dan menyukarkan pelajar untuk memahami silibus yang diperuntukkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Buku yang mempunyai empat bab ini membawa pembaca ke alam pendidikan yang lebih menarik terutama bagi para guru yang tidak biasa dengan istilah “gamifikasi” dalam pendidikan. Penulis tidak hanya memperkenalkan gamifikasi, malah mereka turut membantu para pembaca dalam menyesuaikan teknik ini mengikut topik-topik yang terdapat di dalam silibus pembelajaran, khusus untuk pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga.
Lebih menarik lagi, penulis berkongsi templat aktiviti yang dapat digunakan oleh para pembaca sebagai rujukan semasa melakukan persediaan sebelum mengajar. Pembaca juga disajikan dengan pelbagai contoh gamifikasi berserta kaedah permainan yang sangat terperinci untuk memudahkan para pembaca merancang aktiviti pendidikan. Tambahan pula, buku ini menampilkan pelbagai ilustrasi yang sangat menarik agar pembaca lebih mudah membayangkan pelaksanaan teknik gamifikasi ini.
Sememangnya, buku Gamifikasi dalam Matematik: Panduan untuk Guru ini merupakan sebuah kit bantuan yang sangat berguna buat para guru. Penggunaan bahasa yang ringkas, pemilihan perkataan dan istilah yang spesifik dan mudah membantu para guru untuk lebih memahami konteks penyampaian dan seterusnya mengaplikasikan teknik ini dalam sesi pengajaran. Dalam era pengajaran secara dalam talian sekarang, gamifikasi mungkin antara teknik terbaik yang dapat digunakan oleh para guru.
- Hits: 2846