| Penerbit.usm.my |

Pada 26 Februari 2025, Penerbit USM telah menganjurkan Program Kelestarian dan Gotong-Royong dengan penyertaan aktif staf dari semua bahagian. Program yang berlangsung dari jam 8:30 pagi hingga 4:30 petang ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih bersih, kemas dan lestari.

Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas yang disampaikan oleh Pengarah Penerbit USM, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sosial Staf dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian, diikuti dengan latihan memanaskan badan. 

Seterusnya, staf bekerjasama membersihkan perkarangan pejabat dan kawasan sekitar bangunan, sementara ahli Jawatankuasa Kelestarian merancang aktiviti kelestarian secara khusus dengan dibantu oleh staf-staf lain. Antaranya adalah pengalihan pokok-pokok tanaman dan pembaikpulihan sistem hidrofonik. 

Berikutnya, staf menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penyusunan semula di dalam bangunan, termasuklah pelupusan bahan-bahan kitar semula seperti kertas, dokumen/buku lama, plastik, kayu dan besi. Barang-barang dikumpulkan di hadapan pejabat sebelum pemindahan ke dalam lori dan tong sampah besar (RORO) dilaksanakan.   

Selain aktiviti kebersihan, aspek kebajikan kakitangan juga diberikan perhatian. Sarapan pagi, makan tengah hari, dan makan petang disediakan bagi memastikan peserta bertenaga sepanjang program. Menu yang disediakan termasuk nasi lemak, roti gardenia dengan pelbagai perisa, serta roti jala untuk minum petang.

Pada sebelah petang, sesi pemindahan barangan buangan dan kitar semula dilakukan bagi memastikan semua bahan buangan diurus dengan baik. Program yang berakhir pada jam 4:30 petang ini diharapkan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selesa dan produktif bagi semua warga Penerbit USM.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen USM dalam memupuk budaya kerja yang bersih dan mesra alam selaras dengan inisiatif kelestarian institusi. Kerjasama dan semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh para peserta membuktikan bahawa usaha menjaga kebersihan dan kelestarian memerlukan penglibatan semua pihak.

  • Hits: 70