Delegasi dari Penerbit UKM telah mengadakan kunjungan penanda aras ke Penerbit USM pada 3 Februari 2025. Lawatan ini bertujuan untuk memahami lebih lanjut amalan terbaik Penerbit USM dalam mengadaptasi teknologi digital bagi memperluas jangkauan pemasaran dan komunikasi.
Diketuai oleh Encik Kamarul Arifin Sallehhudin, Ketua Unit Pemasaran Penerbit UKM, delegasi seramai enam orang ini diberi pendedahan mengenai pelbagai inisiatif digital yang telah menjadikan Penerbit USM sebagai antara peneraju dalam pemasaran penerbitan akademik. Antara aspek yang dikongsikan termasuk penggunaan media sosial dan pendekatan interaktif dalam menarik perhatian khalayak sasaran.
Sebagai sebahagian daripada program lawatan, satu sesi bual bicara dalam talian menerusi platform The Emdash Show telah diadakan dengan tajuk Buku Penerbit Universiti: Ke Mana Boleh Pergi? Sesi ini menampilkan dua panel utama, iaitu Encik Mohd Zaidi Abdullah, Ketua Bahagian Pemasaran Penerbit USM, dan Encik Kamarul Arifin Sallehhudin sendiri. Program yang disiarkan secara langsung melalui platform rasmi Facebook, YouTube dan TikTok Penerbit USM, memberi peluang kepada penonton untuk memahami lebih lanjut hala tuju industri penerbitan akademik dalam era digital.
Lawatan ini berakhir dengan sesi eksplorasi di Emdash Bookstore, kedai buku Penerbit USM yang kini dalam fasa terakhir pengubahsuaian. Kedai ini bukan sekadar ruang jualan buku tetapi juga akan menjadi satu tarikan bagi pencinta buku yang ingin menikmati pengalaman berkunjung yang lebih unik dan berinteraktif.
Penerbit USM terus komited untuk memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam pemasaran penerbitan akademik melalui inovasi digital. Lawatan ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara kedua-dua penerbit universiti, tetapi juga membuka ruang kepada lebih banyak kolaborasi dalam usaha memperkasakan penerbitan akademik di peringkat tempatan dan global.
- Hits: 47