Universiti Sains Malaysia (USM) Pelopori Pasaran E-Buku Antarabangsa

EBooks

PULAU PINANG, 18 Jun 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Penerbit USM menjadi universiti pertama di Malaysia yang mempelopori dunia penerbitan elektronik ke persada antarabangsa.

Bermula pada awal tahun 2013, Penerbit USM memfokuskan usaha menjayakan  inisiatif penerbitan elektronik ini secara agresif  sesuai dengan  keperluan semasa dan masa hadapan mengikut arus perkembangan teknologi yang memperlihatkan peningkatan permintaan terhadap buku elektronik.

Menurut Pengarah Penerbit USM Akhiar Salleh, dengan kejayaan menembusi pasaran antarabangsa ini juga akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mendapatkan karya yang bermutu tinggi yang dapat diterima oleh pembaca antarabangsa.

“Penerbitan elektronik ini adalah sebahagian daripada agenda dalam Pelan Transformasi Penerbit USM yang dizahirkan pada pertengahan tahun 2013 selaras dengan seruan Naib Canselor Profesor Dato’ Dr Omar Osman yang mahu melihat usaha penerbitan elektronik diberi penekanan dan keutamaan,” kata Akhiar dalam temuramah khas di pejabatnya di sini.

Jelasnya lagi, matlamat utama Penerbit USM memasuki dunia penerbitan elektronik adalah untuk meningkatkan keternampakan (visibility) karya yang diterbitkan oleh USM melampaui sempadan benua sebagaimana misi dan visi Pelan Transformasi 2013-2015 untuk menjadi penerbit ilmiah kelas dunia yang menerbitkan produk bertaraf antarabangsa dan menyokong agenda kelestarian sejagat dengan menyebar dan memasarkan penerbitannya secara global.

Dalam mengupayakan pemasaran buku elektronik di peringkat antarabangsa ini, pada awalnya Penerbit USM membina rangkaian yang lebih luas melalui penyertaan dalam Frankfurt Book Fair di Jerman yang merupakan pesta dan pameran buku terbesar dunia.

“Pesta buku ini bukan sekadar forum untuk menjual hak cipta tetapi juga banyak hal yang berkaitan penerbitan dan pemasaran yang boleh dilakukan malah kami  berpeluang bertemu dan membina rangkaian dengan nama-nama besar dalam industri penerbitan dari seluruh dunia,” kata Akhiar lagi.

Penerbitan buku elektronik dipasarkan melalui aggregator (pengedar buku elektronik) yang dilantik khas, misalnya dalam negara melalui eSentral, manakala  di peringkat antarabangsa pula melalui beberapa nama besar seperti Trajectory, Google Play, OverDrive, Barnes & Noble dan Kobo.

“Walau pun trend jualan buku elektronik relatifnya masih kecil seperti yang dialami oleh pemain besar dalam industri ini pada awalnya, namun penyata jualan mingguan yang diterima daripada pengedar menunjukkan jualan buku berlaku hampir setiap hari berdasarkan rekod jualan buku yang dibeli oleh pembaca daripada negara seperti Jepun, China, Australia, Jerman, Itali, Sepanyol, Kanada, United Kingdom, Amerika Syarikat dan sebagainya yang jelas menunjukkan kerelevenan karya dan pengiktirafan kepada penulis berkenaan,” jelasnya lagi.

Manakala penerbitan e-jurnal yang bersifat free access yang sebelum ini hanya menyediakan makalah untuk pembaca dalam format pdf, kini telah menambah kemudahan dengan menyediakan makalah dalam format ePub.

Penerbit USM mengenal pasti ePub sebagai format pilihan penerbitan elektronik paling popular kerana ciri keselamatannya yang boleh diintegrasikan dengan digital rights management (DRM), mempunyai darjah keserasian yang paling tinggi dengan pelbagai sistem operasi dan bersifat reflowable, iaitu mesra dengan skrin peranti mudah alih.

Akhiar ternyata  berbangga dengan kejayaan Penerbit USM ini apatah lagi kini buku-buku jenamanya dibeli oleh peminat buku dari negara luar melalui portal Amazon.com, Google Play (Books), Barnes & Noble, Kobo, Gardner, Scribd dan yang terbaru melalui Apple Store.

Beliau menyifatkan kejayaan ini adalah hasil kerja keras berpasukan yang melibatkan sebahagian besar staf Penerbit USM dengan usaha yang gigih, komitmen tinggi dan jitu dengan sokongan dana dan galakan daripada Pengurusan Tertinggi Universiti terutamanya Naib Canselor  dan  Timbalan Naib Canselor (Bahagian Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Universiti.

Ketua Bahagian Pemasaran Penerbit USM, Mohd Yusri Kamaruddin pula berkata, pemasaran ke peringkat antarabangsa berhadapan dengan banyak cabaran.

“Memandangkan USM merupakan pelopor  dalam pemasaran buku elektronik ini di pasaran antarabangsa, kami tiada pengalaman dalam mengendalikan pengedar di luar negara namun hasil penyelidikan dan bantuan teknikal dari mereka  yang lebih berpengalaman,  cabaran ini dapat diatasi dan penambahbaikan dilakukan dari semasa ke semasa,” kata Mohd Yusri.

Sehingga kini, terdapat lebih 130 judul buku dan 100 jurnal di pasaran dalam format elektronik yang meliputi buku-buku terbaharu dan sebelum ini. – Teks: Syuhada A. Aziz & Siti Naquiah Abdillah/Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

 

  • Hits: 1267

PAUTAN LAIN
- USM
- MAPIM
- KPM
- PNM


  • Last Modified:
    Wednesday 20 November 2024, 03:41:17.