Penerbit USM Tandatangan Empat MoA Untuk Pasar EBuku Antarabangsa

MOAIngram

MOAEBSCO

 

FRANKFURT JERMAN, 19 Oktober 2015 – Dalam usaha membawa karya Malaysia, khususnya hasil kajian dan penyelidikan oleh penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) ke peringkat antarabangsa, USM telah menandatangani empat Memorandum Perjanjian (MoA) dengan rakan strategik bagi memasarkan hasil terbitan Penerbit USM ke peringkat global yang ditandatangani di Frankfurter Buchmesse (Pesta Buku Frankfurt) yang berlangsung pada 14-18 Oktober 2015.

Keempat-empat MoA ini ialah di antara USM dengan EBSCO Publishing dan ProQuest, gergasi depositori kandungan yang menempatkan kandungan digital dari seluruh dunia bagi memasarkan buku elektronik (ebuku) Penerbit USM untuk pasaran antarabangsa di samping penandatanganan perjanjian dengan Ingram Content Group dan PT Buqu Global.

Semua dokumen perjanjian ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)  yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan USM, Profesor Dato’ Dr Muhamad Jantan yang mewakili Naib Canselor USM.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Penerbit USM Akhiar Salleh dan beberapa orang pegawai Penerbit USM yang bertugas sepanjang Pesta Buku Frankfurt.

Menurut Muhamad ketika berucap di majlis pemeteraian perjanjian dengan ProQuest, usaha memasuki pasaran antarabangsa penerbitan digital melalui syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat ini adalah untuk meningkatkan keternampakan (visibility) karya, pengarang dan USM pada peringkat dunia.

Pengurus Kanan EBSCO, Mari Bergeron menyatakan kegembiraannya kerana USM memilih EBSCO menjadi rakan strategik dalam pemasaran penerbitan digital.

Tambahnya lagi, selain daripada kekuatan dan keunikan karya yang diterbitkan, penjualan ebuku bergantung juga kepada kekuatan metadata yang dibekalkan oleh penerbit kepada pihaknya dan metadata  menjadi nadi kepada keternampakan sesuatu judul dalam alam siber.

Naib Presiden Kanan dan Pengurus Besar ProQuest, Kevin Sayar pula berkata Penerbit USM adalah penerbit pertama di Malaysia dan di rantau ini yang berjaya menjalin usaha sama pemasaran ebuku dengan ProQuest.

MoA dengan Ingram Content Group pula adalah bagi memasarkan buku bercetak secara Print on Demand (POD) terbitan Penerbit USM bagi pasaran antarabangsa.

Pengurus Pemasaran Ingram Content Group Andrew Bromley pula berkata dengan adanya perkhidmatan seperti ini, buku bercetak yang dipesan akan dihantar terus oleh rangkaian pencetaknya, iaitu Ingram–Lightning Source kepada pembeli dalam tempoh seminggu mengikut rantau pembeli.

Ingram mempunyai 39,000 peruncit dan perpustakaan yang melanggan perkhidmatannya di seluruh dunia.

Penerbit USM juga dalam peringkat akhir rundingan untuk memasarkan ebuku melalui Ingram–CoreSource yang mempunyai 260 pengedar penerbitan digital di seluruh dunia.

USM turut memeterai perjanjian dengan PT Buqu Global untuk memasarkan ebuku  untuk pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PT Buqu Global Erlan Primansyah berkata dengan adanya usaha sama ini, akan dapat mengatasi kesukaran menembusi pasaran Indonesia bagi buku bercetak yang dihadapi oleh penerbit di Malaysia selama ini.

Menurut Akhiar, Penerbit USM menjadi peneraju dalam ebuku di Malaysia terutamanya dalam kalangan penerbit IPTA telah memasuki pasaran antarabangsa secara agresif bermula hujung tahun 2014.

Sehingga kini sudah lebih 150 judul buku dan lebih daripada 120 isu jurnal dalam format ePub yang telah berjaya dihasilkan. Buku-buku terbitannya boleh dibeli melalui portal Amazon.com, Google Play (Book), Barnes & Noble, Apple Store dan beberapa portal buku elektronik terkenal termasuk portal tempatan eSentral dan BachaBooku.

“Semua ebuku tersebut diedar melalui aggregator (pengedar buku elektronik) seperti Trajectory, Kobo, Google Play, OverDrive dan Xentral Methods,”kata Akhiar.

Teks suntingan: Mohamad Abdullah
Foto: Akhiar Salleh

  • Hits: 1196

PAUTAN LAIN
- USM
- MAPIM
- KPM
- PNM


  • Last Modified:
    Wednesday 20 November 2024, 03:41:17.