Majlis Sanjungan Karya Iktiraf Pengarang Buku

SanjunganKarya2014

PULAU PINANG, 18 November 2014 – Penerbit Universiti Sains Malaysia (PUSM) hari ini mengiktiraf para pengarang atau editor buku yang diterbitkan dalam tahun 2014 dalam satu majlis Sanjungan Karya yang gilang gemilang. Sempena itu juga sebanyak 28 judul buku terbitan PUSM dilancarkan merangkumi 18 buah buku Bahasa Melayu dan 10 buah buku Bahasa Inggeris.

“Saya sangat berbesar hati dan berbangga dengan pencapaian PUSM pada masa kini. PUSM adalah entiti yang penting dalam ekosistem universiti yang sedang meningkatkan prestasi dan mengembangkannya dengan lebih luas,” ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Buku Penerbit USM 2014 di sini hari ini.

“Oleh yang demikian, saya seru semua ahli akademik untuk membukukan hasil penyelidikan dalam bentuk yang sesuai untuk dijadikan sebagai rujukan yang mempunyai tanda aras tinggi,” tambah Naib Canselor.

Menurut Pengarah PUSM, Akhiar Salleh pelbagai aktiviti dianjurkan oleh pihaknya termasuk jerayawara ke pusat-pusat pengajian bagi mempromosikan buku-buku terbitan serta berkongsi teknik penulisan buku atau jurnal.

“Mulai tahun 2015, PUSM akan mewujudkan sistem e-penerbit di mana sistem ini dapat digunakan secara dalam talian bagi segala urusan penerbitan dengan pihak PUSM,” ujar Akhiar.

PUSM telah ditubuhkan bermula tahun 1972 dan buku pertama dihasilkan ialah Sesayup Jalan karja Zurinah Hassan.Setelah 42 tahun, sebanyak 1191 buah penerbitan dihasilkan daripada pengarang samada dari dalam USM atau pun pihak luar.

Antara 28 judul yang dilancarkan adalah hasil karya Profesor Dr Jafri Malin Abdullah iaitu Kerjaya dalam Bidang Neurosains: Apa yang Patut Diketahui Mengenai Sains Otak di Malaysia; Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (Sirih Pulang ke Gagang: Libatsama Bestari USM-komuniti); Dr. Musa Ali (Transformasi Organisasi:Konsep dan Teknik Pelaksanaan) serta Dr. Goh Sang Seong (Koleksi Peribahasa China Terindah).

Dalam majlis yang sama, Goh sempat berkongsi pengalaman beliau mengumpul koleksi peribahasa China untuk dibukukan serta maksud dan makna peribahasa yang ada. Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Hits: 846

PAUTAN LAIN
- USM
- MAPIM
- KPM
- PNM