Misi Kemanusiaan Pasca-Banjir Penerbit USM
9 Januari 2015, sekumpulan 5 orang staf Penerbit USM telah bertolak ke Kelantan dengan tujuan menyertai Misi Kemanusiaan Pasca-Banjir (Fasa 3) yang berpangkalan di USM Kubang Kerian. Selain itu, objektif lain adalah untuk menghulurkan sumbangan berupa uniform sekolah rendah dan sejadah hasil sumbangan derma kilat di Penerbit USM.
Kami memulakan perjalanan pada jam 8 pagi dari perkarangan Penerbit USM menggunakan kereta Toyota Innova Penerbit USM. Setelah 5 jam, kami tiba di Jeli. Di sana, kami disambut oleh En. Mohd Suhaimi Husin, seorang anak tempatan yang membawa kami ke arah Kg. Kandek, kira-kira 50 km dari pekan Jeli. Destinasi bantuan adalah Kg. Biak, yang terletak di seberang sungai Kg. Kandek.
Kg. Biak adalah antara kawasan yang teruk dilanda banjir. Kami difahamkan pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Kg. Biak memerlukan bantuan persekolahan, manakala orang dewasa memerlukan kelengkapan sembahyang.
50 pasang uniform sekolah dan 20 helai sejadah diserahkan kepada wakil Penghulu Kg. Biak yang datang menyeberangi sungai menaiki bot. Hajat kami untuk menyeberangi sungai untuk melihat sendiri keadaan Kg. Biak dan berjumpa dengan penduduk kampung terpaksa dibatalkan disebabkan arus sungai yang agak deras.
Selepas itu, kami sempat melawat beberapa kawasan sekitar dan melihat kesan kemusnahan akibat banjir. Kami bergerak ke bilik operasi USM Kubang Kerian pada jam 5.40 petang dan tiba di kampus tersebut kira-kira jam 8.30 malam.
Keesokan paginya, kami menyertai pasukan sukarelawan USM ke Sekolah Kebangsaan Lela Jasa, Kuala Krai, dengan kekuatan enam buah bas untuk aktiviti pembersihan asrama sekolah. Perjalanan dari kampus Kubang Kerian ke destinasi memakan masa hampir tiga jam. Misi pembersihan ini dimantapkan dengan kehadiran pasukan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Ketika banjir, air naik melimpah sehingga ke tingkat dua bangunan asrama. Bilik asrama, tandas dan dewan makan terjejas teruk. Misi pembersihan dirumitkan dengan masalah ketiadaan air. Namun, semangat kesukarelawanan tidak patah dan kami bermula dengan mengangkut air menggunakan kekuatan tenaga manusia sehingga pemasangan pam air berjaya. Aktiviti pembersihan berakhir selepas enam jam.
Pada hari ketiga, kami ke destinasi terakhir iaitu Tanah Merah untuk mengagihkan lebihan 50 pasang uniform sekolah dari rumah ke rumah di beberapa buah kampung. Sebelum berangkat ke sana, kami sempat berjumpa dengan En. Ariffin dari Melor Bikers Club yang juga seorang individu yang aktif dalam aktiviti NGO. Beliau yang sebelum ini sudah beberapa kali berkonvoi menjelajahi kawasan Tanah Merah untuk menghantar bantuan telah memberikan nasihat dan tunjuk ajar yang berguna untuk kami.
Kami menjelajahi Tanah Merah selama kira-kira tiga jam, di mana 30 pasang uniform sekolah telah diserahkan kepada keluarga yang memerlukan. Terkesan hati bila didekati seorang kanak-kanak yang inginkan air minuman sewaktu kami mengagihkan baju sekolah. Baki uniform yang selebihnya diberi kepada guru besar Sekolah Kebangsaan Sri Suria (I), Tanah Merah.
Dari Tanah Merah, kami bertolak balik ke Pulau Pinang pada jam 4.30 petang dan selamat tiba hampir jam 1 pagi.
Jumlah kutipan derma adalah sebanyak RM4,497.00, yang mana RM2,584.70 telah digunakan untuk membeli uniform sekolah dan sejadah. Baki selebihnya RM1,912.30 telah dibelanjakan untuk pembelian peralatan sekolah sebagai bantuan lanjutan. Sumbangan peralatan ini telah diserahkan kepada wakil NGO Warga Kilang pada 14 Januari 2015 untuk di bawa ke Kelantan pada 16 Januari 2015.
Sesungguhnya tiga hari yang kami lalui amat memberi keinsafan disamping dapat mendekatkan diri dengan mangsa-mangsa bagi menghulurkan serba sedikit bantuan. Jazakallah diucapkan kepada warga staf Penerbit USM serta individu-individu yang turut menjayakan program kutipan derma yang dilakukan. Semoga aktiviti-aktiviti berkeprihatinan ini akan sentiasa diteruskan pada masa akan datang.
Zulkifli Musa
Ahmad Fitri Ramli
Mohammad Ridhwan Jaapar
Hasleza Abdul Halim
Noriyanti Jahaya
- Hits: 1046